Januari 25, 2010

PEMUDA MELAYU


Aku ini pemuda melayu
Dan puisi ini pun melayu
Bisakah ia di panggil sajak atau syair melayu?
Kerana aku rasa bahasa ini pun punya melayu..
Hidup Melayu..!!!!
Dan yang setengah mati itu bukanlah melayu?
Perut ku ini, pemuda melayu
Tumbuh membusung layaknya sebutir labu

Jadi melayu ,harusnya ada cita-cita tinggi,
Tinggi itu biarlah sebenar-benar tinggi
Seperti menjadi bapak menteri
Paling bangang pun boleh pergi PWTC
Satu tahun satu kali?
Lima puluh ringgit satu hari…. hanya duit kopi!

Pemuda melayu, menuntut ilmu biar tinggi-tinggi
Biar sampai ke luar negeri,
Paling kurang, universiti dalam negeri.
Janji university…
Sekali sekala pakai baju batik warna warni
Ke majlis itu dan ini
Program sana dan sini…
Balik kampong hidung mesti tinggi!!

Ahhhh jangan jadi pemuda melayu
kalau tidak tahu apa itu proton Myvi
Atau Mercedes entah apa-apa siri…
Semua ini adalah status diri..

Muka hensem tidak penting
janji gaya, penampilan ala Khairy jamaludin
barulah ada ciri-ciri seorang pemimpin
karisma kepala otak kau jangan ambil pusing
janji selalu kelihatan, bersama orang-orang penting

Itu lah pemuda melayu,
Kalau nak tahu..

Mesoul,

Edinburgh

Disember 28, 2009

Andalusia; Tunggu aku datang!

Hari ini di Cafe Andalus.
Buah zaitun, minyak zaitun, paila, udang celup tepong.
Ikan bilis jeruk dan ikan sea bass.
Tiba-tiba di meja yang penuh dengan hidangan tapas,
isteri aku yang seksi mengumumkan;
kami akan ke Granada bulan Februari yang akan datang
sebagai hadiah harijadi.
Andalusia, tunggu aku.
Aku akan datang melawat.
Kenalimu lewat lagu M.Nasir dan puisi si LoloQ
Ingin aku hidu harum setanggi mu,
Ingin ku menari bersama irama flamenko mu..
ingin aku sentuh ilham syorga di dunia ini.
Andalusia, tunggu aku.
Aku datang.

Disember 26, 2009

Aku Masih Muda?


26 Disember, hari lahir. Semalam 29, namun hari ini 30 tahun.
Tiga dekad sudah di dunia ini. Diam seketika.
Di luar sana salji memutih. Orang salji (snowman) yang di bina bersama isteri masih berdiri utuh. Hidungnya daripada lobak merah dan mata dari buah limau.

Lalu hati bertanya. Adakah aku masih muda?
Ya! Aku masih muda! Kerana aku hidup dan mimpi-mimpi dari hari muda yang semalam masih segar di hari muda aku di saat ini.
Yang jadi tua adalah muda yang hilang mimpinya. Mimpi-mimpi yang di rampas angan-angan dunia.
Aku masih muda kerana aku masih bermimpi. Mimpi yang tidak bisa di rampas!
Maka aku akan terus bermimpi, kerana mimpi adalah percuma!

November 21, 2009

Afrika : Peluang pelaburan atau wajah baru Penjajahan?



Di ketika ini, saya yang masih terhegeh-hegeh mencari idea untuk menulis. Di saat ini juga, warga benua Afrika terus menerus di bantai kemiskinan, kelaparan, malaria dan segala macam pendemik. Di parahkan lagi melalui penguasa-penguasa yang zalim dengan “barah” korupsi yang tenat. Manusia di Afrika sedang melalui satu jalan penderitaan yang panjang. Daripada zaman perdagangan hamba dan penjajahan, Afrika tiada pernah aman daripada bermacam kesengsaraan. Di dalam perkembangan terbaru, berjuta-juta ekar tanah di benua Afrika telah beralih tangan kepada syarikat-syarikat multinasional asing untuk di usahakan sebagai tanah pertanian. Perkembangan ini adalah merupakan rentetan krisis makanan dunia baru-baru ini dan ia menyebabkan negara kaya seperti China, Korea Selatan, Arab Saudi dan beberapa negara teluk sekarang di lihat berkejaran untuk memastikan bahawa mereka mempunyai stok makanan yang tidak putus untuk rakyat mereka.

Pada pendapat saya, krisis makanan dunia telah membuka mata negara-negara kaya dan syarikat-syarikat gergasi multinasional bahawa seguni gandum mungkin suatu hari nanti akan menjadi lebih mahal daripada sebuah kereta ataupun satu tong minyak. Maka pelaburan di dalam bidang pertanian sudah tentunya akan memulangkan hasil yang lumayan terutama sekali di saat makanan berkurangan. Itu adalah hukum kapitalisma. Untuk mendapatkan untung yang maksima? Afrika adalah tempat yang paling murah dan mudah di ketika ini.

Di dalam kebanyakan kes, penguasa di negara-negara Africa terbabit telah mengenepikan nasib rakyat sendiri yang sentiasa kelaparan demi mengumpul makanan untuk penduduk di negara kaya yang sudah pasti kekenyangan. Oleh kerana di kebanyakan negara Afrika ini di mana dasar pemilikan tanahnya adalah kurang jelas, maka banyak kes-kes yang berakhir dengan situasi di mana rakyat kehilangan tanah pertanian, dan kehidupan terjejas kerana tanah yang dahulunya mereka anggap sebagai tanah nenek moyang, kini jatuh ke dalam tangan syarikat gergasi multinasional. Penguasa yang seharusnya membantu mempertingkatkan mutu pertanian tempatan, terus mengabaikan tanggung jawab kerana telah menerima wang yang lumayan daripada negara-negara yang terlibat.

Alasan biasa yang selalu kita dengar dari pihak yang menyokong rampasan tanah yang berleluasa di Afrika adalah pelaburan asing atau Foreign Direct Invesment FDI. Tidak di nafikan bahawa benua Afrika memerlukan suntikan pelaburan demi mengeluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan. Namun apa yang membimbangkan, ia melahirkan satu wajah baru terhadap penjajahan dan perhambaan. Perkara ini menjadi tajuk pendebatan hangat di kalangan organisasi-organisasi pertanian dan makanan dunia hari ini. Ramai yang berpendapat bahawa apa yang berlaku hari ini di Afrika adalah rampasan tanah daripada warga tempatan dan bukannya pelaburan.
Arab Saudi, setakat ini membuat pelaburan yang berjumlah 400 juta USD di Sudan dan Ethiopia dan mengerjakan tanah seluas 1.2 juta ekar di Tanzania. China mempunyai 6.9 juta ekar DR Congo dan 5 juta ekar di Zambia yang kebanyakannya adalah penanaman Kelapa sawit. Korea Selatan, melalui Daewoo (mempunyai rekod dalam berkerjasama dengan regim kuku besi seperti di Burma) sedang mengerjakan seluas 1.7 juta ekas di Sudan dan Qatar ketika ini sedang menunggu masa untuk menjarah 40,000 hektar di negara Kenya.

Yang membimbangkan adalah negara-negara Africa yang terbabit terkenal dengan korupsi, tidak telus, regim zalim dan sebagainya. Hingga di saat ini 1 daripada 2 orang di Afrika hidup dengan berbekalkan kurang daripada 1 USD sehari. 184 juta orang di Africa menderita malnutrisi. Sampai bila Afrika mesti menderita?

November 08, 2009

Ikan Kering


Mereka yang menang dan mereka lah yang terus kenyang.
Hingga tuli telinga dan cacat pendengaran!
Di beratkan lagi dengan kekaburan mata dan pandangan
Kerana sekarang mereka hanya liar mencari peluang!
Ohhhh…..Bangsatnya!
Celaka laknat! Semuanya temberang !
Kita yang jahil tentang percaturan di biarkan tercirit ketakutan
Tentang neraka jahanam dan hasutan syaitan!
Sedang mereka bersenang-lenang
Dengan hanya menjual nama Tuhan!


Mesoul
Glasgow

November 06, 2009

Orang Kelantan bukan pengemis!

Tidak pernah saya merasa terhina sebegini. Najib Razak ketika menjawab soalan di parlimen menyatakan bahawa Kelantan tidak layak untuk mendapatkan royalti petroleum seperti yang di tuntut. Namun di atas dasar murah hati, kerajaan pusat mempertimbangkan kan pemberian “wang ehsan” . Ehsan apa yang di maksudkan? Dengan menambah bahawa “wang ehsan” tersebut akan di salurkan kepada agensi-agensi kerajaan persekutuan, kononnya demi memastikan wang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang sepatutnya. Saya rasa, seseorang tidak perlu ke universiti untuk mengagak kemana wang tersebut akan berakhir.
Di dalam video tersebut juga, ahli parlimen Kubang Kerian menegaskan nada suara yang kedengaran menggigil bahawa “kami rakyat Kelantan bukan pengemis”! Ya, memang kita orang Kelantan tidak mengemis. Kita meminta apa yang menjadi hak kita dan kita yakin bahawa tiada hak bagi Najib untuk menafikannya. Tidak perlu di jelaskan di sini penipuan dan penafian fakta yang di lakukan oleh beliau semasa menjawab soalan tersebut kerana saya kira semua pembaca tahu atau mungkin pernah mendengar tentang perjanjian diantara semua kerajaan negeri dan Petronas di bawah akta kemajuan petroleum.
Orang Kelantan bagi saya orang yang menyanjung ilmu, berbudi pekerti dan amat menitik beratkan soal maruah dan air muka semestinya terbakar hangit dengan perkembangan ini tanpa mengira apa pendirian politiknya. Bagi saya mereka yang bersekongkol dengan kerajaan pusat di dalam menafikan hak orang Kelantan adalah pengkhianat dan tiada se sen nilai pun di mata masyarakat orang Kelantan. Orang-orang ini hanyalah kelompok minoriti yang tiada rasa malu dan harga diri. Saya selalu mengelaskan manusia sebegini sebagai elitist wannabe.

Apa Kata Gedebe UMNO Kelantan?

Tengku Razaliegh dari awal kelihatan menyokong, atau sekurang-kurangnya berkata benar di dalam hal ini. Semua maklum akan balasan surat beliau kepada Menteri Besar Kelantan (boleh di baca di laman blog beliau).

Tok Pa? Ahli parlimen Jeli ini adalah di antara ahli politik dari Umno yang dahulunya sentiasa memenangi rasa hormat saya. Antara tindakan herois beliau yang amat saya bangga adalah apabila beliau dengan penuh sifat anak jantan membuat pengakuan secara terbuka di sidang DUN Kelantan bahawa beliau tahu bahawa kerajaan pusat sentiasa menganaktirikan Kelantan. Namun sampai ke saat ini masih belum mendengar apa-apa pandangan daripada beliau tentang hal ini. Kalau tidak salah saya, beliau adalah antara individu yang mengatakan bahawa Kelantan tidak berhak untuk menuntut royalti petroleum kerana ia bukan di dalam perairan Kelantan dan juga kerana ia merupakan projek usaha sama Malaysia-Thailand.

Anuar Musa. Gedebe yang pernah dikaitkan dengan penyalahgunaan wang tabung ikhtiar ini adalah calon terbaik UMNO Kelantan untuk mengantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan di dalam pilihan raya umum yang lepas (wat a jok). Namun impian tidak tercapai apabila UMNO kalah teruk di Kelantan. (walau bagaimanapun prestasi beliau dengan pasukan bola sepak Kelantan harus diberi pujian). Anuar musa hari ni menyatakan bahawa rakyat Kelantan harus bersyukur dengan “wang ehsan” tersebut. Bersyukur untuk apa? Bersyukur setelah di hina dan dinafikan hak kita? Tidak hairan mengapa orang Kelantan tidak memilih beliau sebagai Menteri Besar.

Ibrahim Ali? Tak masuk book! Itu kata orang Kelantan.

Bunuh Diri

Tindakan Najib ini saya rasakan sebagai satu tindakan bunuh diri. Kesannya akan menjerut leher beliau sendiri dan nyata sekali ia tidak memberi apa-apa keuntungan politik buat UMNO dan BN untuk pilihanraya umum yang akan datang. Sebagai anak jati Kelantan, saya dapat merasai perasaan benci yang mendidih terhadap Najib dan UMNO-BN oleh majoriti orang Kelantan tanpa mengira apa pendirian politik mereka. Saya pasti bahawa mereka tidak akan berdiam diri. “wang ehsan” tidak akan dapat menggulakan hati panas mereka setelah di hina sebagai pengemis.
Dan yang paling teruk adalah gedebe-gedebe UMNO Kelantan. Kuli, Tok Pa, Anuar Musa, Awang Adek dan dua tiga kerat lagi. Mereka ini akan di lihat sebagai kera sumbang dan tidak bermaruah kerana bersekongkol dengan kerajaan pusat di dalam menghina dan menafikan hak orang Kelantan. Tunggulah pilihanraya umum nanti!

Julai 17, 2009

Tubuh tanpa Nyawa di bangunan suruhanjaya

Tubuh kaku tanpa nyawa,
Tertiarap mendakap lantai konkrit di bangunan Suruhanjaya,
Sepi tanpa bicara, kau buat aku tertanya-tanya…
Tubuh tanpa nyawa..di bangunan Suruhanjaya
Diam mu itu mengundang pilu
Di hati kecil saudara manusia mu
Tubuh tanpa nyawa di bangunan suruhanjaya
Bercucuran airmata ibu..
Perempuanmu kehilangan tempat bermadu…
Aku hanya mampu memandang..
Tubuh tanpa nyawa di bangunan Suruhanjaya,
Kita tidak pernah ketemu
Namun doa ku adalah hak kepunyaanmu..
Kerana aku saudara manusiamu.

Mesoul
North Gower st

Jun 16, 2009

Orang Kelantan dan “Kerajaan Perpaduan”

“Ambil lah tanoh Kampong Banjir bagi pada barise (BN) ! Tanah Kelate buleh ke Pas doh!” Ayah saya yang berada di luar rumah melaung dengan nada sinis. Suaranya sudah tentu di dengari oleh jiran tetangga di mana jarak di antara rumah-rumah di situ sangatlah dekat dan hanya di pisahkan lorong-lorong sempit yang luasnya lebih kurang lima kaki sahaja. Setiap rumah di sini di dirikan di atas tanah kerajaan. Mula berpindah di Kampung Banjir ini selepas kejadian banjir merah di tahun tujuh puluhan dan dari situlah kampong ini mendapat nama. Di ringkaskan cerita, menjelang pilihan raya umum tahun 1990, orang Umno di kampong tersebut di beri geran tanah (sementara) di mana rumah mereka di dirikan dan penyokong Pas atau Angkatan Perpaduan Ummah seperti ayah saya di kecualikan.
Begitulah ceritanya yang saya fahami selepas beberapa tahun. Ayah saya menyindir orang-orang Umno yang mendapat geran tanah pada malam tersebut selepas mendengar pengumuman bahawa Pas bersama Semangat 46 telah menewaskan Barisan Nasional. Tok Guru Nik Aziz di lantik menjadi Menteri Besar Kelantan.
Peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan saya. Ayah saya telah menunjukkan kepada saya betapa bencinya beliau terhadap Umno dan Barisan Nasional kerana dasar berpuak-puak dan pilih kasih mereka. Walaupun setelah tidak lagi memerintah Kelantan, tahun-tahun berikutnya saya menyaksikan sendiri gedebe-gedebe Umno datang ke tetangga kami untuk menghulurkan “bantuan” menggunakan berbagai-bagai saluran kerajaan pusat. Salah satu daripadanya ialah bantuan wang RM 5000 seorang di dalam bentuk pelaburan amanah saham. Salah seorang daripada gedebe tersebut dengan angkuh berkata kepada saya , “ayahmu bodo! Tengok orghe Umno buleh pitih, dia sokong Pas buleh gapo?”. Saya hanya tersengih, dan ketika itu tidak mampu untuk membela ayah. Peristiwa itu sendiri saya tidak pernah ceritakan kepada ayah saya kerana memikirkan “kepala angin” beliau. Namun selepas itu saya di fahami bahawa bantuan tersebut datangnya dari Kementerian (atau jabatan) Pembangunan Luar Bandar, bukannya dari Umno. Penemuan itu membuatkan saya serba sedikit membina dan mengumpul sebab dan hujah untuk membenci Umno sekuat hati saya.
Saya pada ketika itu merasa tertipu kerana pada awalnya menyangka bahawa wang ringgit serta bantuan-bantuan terhadap orang kampong saya tersebut merupakan duit dari kocek parti Umno itu sendiri. Tetapi sebenarnya Umno menggunakan berbagai-bagai Jabatan Kerajaan Pusat di mana sebagai seorang warga Negara, ayah juga mempunyai hak untuk bantuan-bantuan tersebut memandangkan ayah saya merupakan seorang yang miskin. Dari situ lah saya mendapat kefahaman tentang pemikiran orang-orang Umno yang kononnya kerajaan itu Umno , Umno itu kerajaan dan sosok yang bertanggung jawab menabur racun faham politik ini adalah tidak lain tidak bukan melainkan Mahathir!!! Cis!!!
Umno-BN yang pada ketika itu masih di ketuai oleh Mahathir, melalui Kerajaan Persekutuan semenjak kekalahan pada tahun 1990 terus menerus tanpa henti membuli Kerajaan Negeri Kelantan yang di ketuai oleh Tok Guru Nik Aziz. Diskriminasi di dalam bentuk infrastruktur dan ekonomi terhadap rakyat Kelantan terus di lakukan tanpa henti dengan harapan bahawa orang Kelantan akan beralih daripada Pas dan memberi sokongan kepada Umno-BN. Akan tetapi segala usaha jahat tersebut gagal mencapai matlamatnya bahkan lagi menguatkan kebencian orang Kelantan terhadap Mahathir sendiri. Sokongan orang Kelantan terhadap Pas terus memuncak walaupun terpaksa melihat dengan mata putih gas asli daripada perut bumi Kelantan di daratkan di Songkla. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur terhenti di Kuantan dan berbagai-bagai tindakan lagi yang secara umumnya boleh di samakan dengan sekatan ekonomi Zionis Israel terhadap rakyat Gaza.
Kini hampir dua puluh tahun orang Kelantan bertahan bermati-matian melawan rejim BN. Kubu di Kelantan tetap utuh walaupun di dalam pilihan raya umum 2004 ia hampir tumbang.
Satu malam, sehari sebelum pilihan raya umum 2008, Kota Bharu menyaksikan linangan air mata Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan yang memenuhi Stadium Sultan Muhammad Ke empat. Solat hajat untuk meminta pertolongan Allah tuhan yang satu. Doa dari seorang hamba yang lemah kepada tuhannya di iringi cucuran airmata ketakwaan dan keinsafan bahawa tiada lain yang dapat menghalang BN dari merampas kembali Kelantan selain kudrat dan iradat tuhan yang maha satu, Allah! Begitulah terbuktinya bahawa orang Kelantan menolak Umno dan akan tetap melawan parti perkauman tersebut. Penentangan ini bukan sahaja berlaku di dalam soal politik dan kepartian,malah ia telah meresap jauh kedalam lubuk jiwa dan di saluti dengan sesuatu nilai yang tidak pernah di fahami oleh Umno, iaitu spritualiti. Ini menunjukkan bahawa bencinya orang Kelantan terhadap Umno sehingga tidak sanggup mereka membayangkan jika Kelantan jatuh ke tangan gerombolan perasuah dan lanun terbesar tersebut.
Setelah keputusan pilihan raya di umumkan, ternyata Kelantan masih gagal di tawan oleh Umno-BN malah prestasi mereka lebih teruk daripada pilihan raya umum sebelumnya. Malah, orang Kelantan yang sebelumnya berdiri sendiri di medan perlawanan terhadap Umno-BN, kini sudah mula mempunyai teman melalui tewasnya Umno-BN di empat negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perak. Secara umumnya saya berani merumuskan bahawa perasaan rakyat Kelantan pada ketika itu adalah seperti baru mendapat kemenangan berganda walaupun tidak kesemua negeri-negeri tersebut di bolot oleh Pas. Perasaan seperti perjuangan menahan serangan Umno-BN selama lebih kurang dua puluh tahun sudah berbalas melalui kejatuhan negeri-negeri tersebut kepada Pakatan Rakyat dan ini akan membuka laluan kepada negeri-negeri lain pada pilihan raya umum seterusnya. Begitulah besarnya harapan orang Kelantan yang sebelum ini bersendirian dan bermati-matian mempertahankan negeri mereka daripada Umno-BN. Maka kemenangan tersebut bukanlah kemenangan mutlak melainkan ia merupakan sebuah langkah permulaan untuk menghapuskan Umno-BN secara total! Itu lah harapan orang Kelantan. Setiap pejuang tidak boleh lena walau sebentar di saat ini kerana lalai sesaat boleh membawa kepada kemudharatan terhadap strategi untuk menghumbang lawan kedalam liang dan menguburkannya supaya bangkai busuk lawan tidak bisa menusupi hidung rakyat.
Namun, tidak sampai setahun Perak berjaya di cerobohi lawan melalui wakil rakyat daripada PKR dan DAP yang telah di beli jiwa mereka. Malah di Kedah juga di serang, termasuk Selangor dan Pulau Pinang. Pakatan goyah buat seketika. Semoga segala peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini akan mematangkan parti-parti di dalam Pakatan itu sendiri.
Hidup di perantauan, membuatkan berita yang di terima terbatas walaupun dengan teknologi internet. Berita yang di terima dari Malaysia bergantung kepada sumber-sumber yang terhad memandangkan media kerajaan tidak boleh di percayai. Saya mengikuti perjalanan muktamar parti Pas melalui sumber-sumber seperti Malaysiakini dan juga Harakahdaily. Satu perkara di sepanjang muktamar tersebut yang amat menakutkan saya adalah “kerajaan perpaduan” yang banyak menjadi perdebatan di kalangan pemimpin Pas dan isu ini di mainkan secara meluas di dalam media kerajaan dan juga media “pro pembangkang?” seperti Malaysiakini. Saya tidak berani untuk menyatakan siapa gerangan yang punca angkara dan idea untuk berniaga gengan Umno, tetapi saya berani mengatakan jika benar ada kumpulan tersebut, maka golongan ini sebenarnya sedang menggali “kubur politik” mereka sendiri. Jika benar itu agenda mereka, bermakna mereka sedang menikam orang Kelantan dari belakang ketika orang Kelantan sedang berhempas pulas untuk melanyak Umno!
Teringat akan kata-kata dari ucapan Yang Berhormat Khalid Samad di muktamar tersebut, “apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding dengan mushaf-mushaf di hujung lembing” merujuk kepada peristiwa yang berlaku ketika tentera Saidina Ali yang terperangkap dengan pujukan perdamaian daripada pihak Muawiyah. Yb Khalid cuba mengingatkan kepada ahli parti beliau bahawa musuh selalu menawarkan berbagai-bagai helah ketika mereka lemah. Namun bagi saya tidak perlu untuk YB Khalid berpatah jauh di dalam lipatan sejarah. Ingatlah rakyat Kelantan ketika di awal pemerintahan Pas yang di anak tirikan oleh Umno. Akhir sekali saya ingin mengubah kata-kata YB Khalid tersebut menjadi “ apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding perjuangan orang Kelantan melawan Umno”!.