“Ambil lah tanoh Kampong Banjir bagi pada barise (BN) ! Tanah Kelate buleh ke Pas doh!” Ayah saya yang berada di luar rumah melaung dengan nada sinis. Suaranya sudah tentu di dengari oleh jiran tetangga di mana jarak di antara rumah-rumah di situ sangatlah dekat dan hanya di pisahkan lorong-lorong sempit yang luasnya lebih kurang lima kaki sahaja. Setiap rumah di sini di dirikan di atas tanah kerajaan. Mula berpindah di Kampung Banjir ini selepas kejadian banjir merah di tahun tujuh puluhan dan dari situlah kampong ini mendapat nama. Di ringkaskan cerita, menjelang pilihan raya umum tahun 1990, orang Umno di kampong tersebut di beri geran tanah (sementara) di mana rumah mereka di dirikan dan penyokong Pas atau Angkatan Perpaduan Ummah seperti ayah saya di kecualikan.
Begitulah ceritanya yang saya fahami selepas beberapa tahun. Ayah saya menyindir orang-orang Umno yang mendapat geran tanah pada malam tersebut selepas mendengar pengumuman bahawa Pas bersama Semangat 46 telah menewaskan Barisan Nasional. Tok Guru Nik Aziz di lantik menjadi Menteri Besar Kelantan.
Peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan saya. Ayah saya telah menunjukkan kepada saya betapa bencinya beliau terhadap Umno dan Barisan Nasional kerana dasar berpuak-puak dan pilih kasih mereka. Walaupun setelah tidak lagi memerintah Kelantan, tahun-tahun berikutnya saya menyaksikan sendiri gedebe-gedebe Umno datang ke tetangga kami untuk menghulurkan “bantuan” menggunakan berbagai-bagai saluran kerajaan pusat. Salah satu daripadanya ialah bantuan wang RM 5000 seorang di dalam bentuk pelaburan amanah saham. Salah seorang daripada gedebe tersebut dengan angkuh berkata kepada saya , “ayahmu bodo! Tengok orghe Umno buleh pitih, dia sokong Pas buleh gapo?”. Saya hanya tersengih, dan ketika itu tidak mampu untuk membela ayah. Peristiwa itu sendiri saya tidak pernah ceritakan kepada ayah saya kerana memikirkan “kepala angin” beliau. Namun selepas itu saya di fahami bahawa bantuan tersebut datangnya dari Kementerian (atau jabatan) Pembangunan Luar Bandar, bukannya dari Umno. Penemuan itu membuatkan saya serba sedikit membina dan mengumpul sebab dan hujah untuk membenci Umno sekuat hati saya.
Saya pada ketika itu merasa tertipu kerana pada awalnya menyangka bahawa wang ringgit serta bantuan-bantuan terhadap orang kampong saya tersebut merupakan duit dari kocek parti Umno itu sendiri. Tetapi sebenarnya Umno menggunakan berbagai-bagai Jabatan Kerajaan Pusat di mana sebagai seorang warga Negara, ayah juga mempunyai hak untuk bantuan-bantuan tersebut memandangkan ayah saya merupakan seorang yang miskin. Dari situ lah saya mendapat kefahaman tentang pemikiran orang-orang Umno yang kononnya kerajaan itu Umno , Umno itu kerajaan dan sosok yang bertanggung jawab menabur racun faham politik ini adalah tidak lain tidak bukan melainkan Mahathir!!! Cis!!!
Umno-BN yang pada ketika itu masih di ketuai oleh Mahathir, melalui Kerajaan Persekutuan semenjak kekalahan pada tahun 1990 terus menerus tanpa henti membuli Kerajaan Negeri Kelantan yang di ketuai oleh Tok Guru Nik Aziz. Diskriminasi di dalam bentuk infrastruktur dan ekonomi terhadap rakyat Kelantan terus di lakukan tanpa henti dengan harapan bahawa orang Kelantan akan beralih daripada Pas dan memberi sokongan kepada Umno-BN. Akan tetapi segala usaha jahat tersebut gagal mencapai matlamatnya bahkan lagi menguatkan kebencian orang Kelantan terhadap Mahathir sendiri. Sokongan orang Kelantan terhadap Pas terus memuncak walaupun terpaksa melihat dengan mata putih gas asli daripada perut bumi Kelantan di daratkan di Songkla. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur terhenti di Kuantan dan berbagai-bagai tindakan lagi yang secara umumnya boleh di samakan dengan sekatan ekonomi Zionis Israel terhadap rakyat Gaza.
Kini hampir dua puluh tahun orang Kelantan bertahan bermati-matian melawan rejim BN. Kubu di Kelantan tetap utuh walaupun di dalam pilihan raya umum 2004 ia hampir tumbang.
Satu malam, sehari sebelum pilihan raya umum 2008, Kota Bharu menyaksikan linangan air mata Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan yang memenuhi Stadium Sultan Muhammad Ke empat. Solat hajat untuk meminta pertolongan Allah tuhan yang satu. Doa dari seorang hamba yang lemah kepada tuhannya di iringi cucuran airmata ketakwaan dan keinsafan bahawa tiada lain yang dapat menghalang BN dari merampas kembali Kelantan selain kudrat dan iradat tuhan yang maha satu, Allah! Begitulah terbuktinya bahawa orang Kelantan menolak Umno dan akan tetap melawan parti perkauman tersebut. Penentangan ini bukan sahaja berlaku di dalam soal politik dan kepartian,malah ia telah meresap jauh kedalam lubuk jiwa dan di saluti dengan sesuatu nilai yang tidak pernah di fahami oleh Umno, iaitu spritualiti. Ini menunjukkan bahawa bencinya orang Kelantan terhadap Umno sehingga tidak sanggup mereka membayangkan jika Kelantan jatuh ke tangan gerombolan perasuah dan lanun terbesar tersebut.
Setelah keputusan pilihan raya di umumkan, ternyata Kelantan masih gagal di tawan oleh Umno-BN malah prestasi mereka lebih teruk daripada pilihan raya umum sebelumnya. Malah, orang Kelantan yang sebelumnya berdiri sendiri di medan perlawanan terhadap Umno-BN, kini sudah mula mempunyai teman melalui tewasnya Umno-BN di empat negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perak. Secara umumnya saya berani merumuskan bahawa perasaan rakyat Kelantan pada ketika itu adalah seperti baru mendapat kemenangan berganda walaupun tidak kesemua negeri-negeri tersebut di bolot oleh Pas. Perasaan seperti perjuangan menahan serangan Umno-BN selama lebih kurang dua puluh tahun sudah berbalas melalui kejatuhan negeri-negeri tersebut kepada Pakatan Rakyat dan ini akan membuka laluan kepada negeri-negeri lain pada pilihan raya umum seterusnya. Begitulah besarnya harapan orang Kelantan yang sebelum ini bersendirian dan bermati-matian mempertahankan negeri mereka daripada Umno-BN. Maka kemenangan tersebut bukanlah kemenangan mutlak melainkan ia merupakan sebuah langkah permulaan untuk menghapuskan Umno-BN secara total! Itu lah harapan orang Kelantan. Setiap pejuang tidak boleh lena walau sebentar di saat ini kerana lalai sesaat boleh membawa kepada kemudharatan terhadap strategi untuk menghumbang lawan kedalam liang dan menguburkannya supaya bangkai busuk lawan tidak bisa menusupi hidung rakyat.
Namun, tidak sampai setahun Perak berjaya di cerobohi lawan melalui wakil rakyat daripada PKR dan DAP yang telah di beli jiwa mereka. Malah di Kedah juga di serang, termasuk Selangor dan Pulau Pinang. Pakatan goyah buat seketika. Semoga segala peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini akan mematangkan parti-parti di dalam Pakatan itu sendiri.
Hidup di perantauan, membuatkan berita yang di terima terbatas walaupun dengan teknologi internet. Berita yang di terima dari Malaysia bergantung kepada sumber-sumber yang terhad memandangkan media kerajaan tidak boleh di percayai. Saya mengikuti perjalanan muktamar parti Pas melalui sumber-sumber seperti Malaysiakini dan juga Harakahdaily. Satu perkara di sepanjang muktamar tersebut yang amat menakutkan saya adalah “kerajaan perpaduan” yang banyak menjadi perdebatan di kalangan pemimpin Pas dan isu ini di mainkan secara meluas di dalam media kerajaan dan juga media “pro pembangkang?” seperti Malaysiakini. Saya tidak berani untuk menyatakan siapa gerangan yang punca angkara dan idea untuk berniaga gengan Umno, tetapi saya berani mengatakan jika benar ada kumpulan tersebut, maka golongan ini sebenarnya sedang menggali “kubur politik” mereka sendiri. Jika benar itu agenda mereka, bermakna mereka sedang menikam orang Kelantan dari belakang ketika orang Kelantan sedang berhempas pulas untuk melanyak Umno!
Teringat akan kata-kata dari ucapan Yang Berhormat Khalid Samad di muktamar tersebut, “apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding dengan mushaf-mushaf di hujung lembing” merujuk kepada peristiwa yang berlaku ketika tentera Saidina Ali yang terperangkap dengan pujukan perdamaian daripada pihak Muawiyah. Yb Khalid cuba mengingatkan kepada ahli parti beliau bahawa musuh selalu menawarkan berbagai-bagai helah ketika mereka lemah. Namun bagi saya tidak perlu untuk YB Khalid berpatah jauh di dalam lipatan sejarah. Ingatlah rakyat Kelantan ketika di awal pemerintahan Pas yang di anak tirikan oleh Umno. Akhir sekali saya ingin mengubah kata-kata YB Khalid tersebut menjadi “ apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding perjuangan orang Kelantan melawan Umno”!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan