Tidak pernah saya merasa terhina sebegini. Najib Razak ketika menjawab soalan di parlimen menyatakan bahawa Kelantan tidak layak untuk mendapatkan royalti petroleum seperti yang di tuntut. Namun di atas dasar murah hati, kerajaan pusat mempertimbangkan kan pemberian “wang ehsan” . Ehsan apa yang di maksudkan? Dengan menambah bahawa “wang ehsan” tersebut akan di salurkan kepada agensi-agensi kerajaan persekutuan, kononnya demi memastikan wang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang sepatutnya. Saya rasa, seseorang tidak perlu ke universiti untuk mengagak kemana wang tersebut akan berakhir.
Di dalam video tersebut juga, ahli parlimen Kubang Kerian menegaskan nada suara yang kedengaran menggigil bahawa “kami rakyat Kelantan bukan pengemis”! Ya, memang kita orang Kelantan tidak mengemis. Kita meminta apa yang menjadi hak kita dan kita yakin bahawa tiada hak bagi Najib untuk menafikannya. Tidak perlu di jelaskan di sini penipuan dan penafian fakta yang di lakukan oleh beliau semasa menjawab soalan tersebut kerana saya kira semua pembaca tahu atau mungkin pernah mendengar tentang perjanjian diantara semua kerajaan negeri dan Petronas di bawah akta kemajuan petroleum.
Orang Kelantan bagi saya orang yang menyanjung ilmu, berbudi pekerti dan amat menitik beratkan soal maruah dan air muka semestinya terbakar hangit dengan perkembangan ini tanpa mengira apa pendirian politiknya. Bagi saya mereka yang bersekongkol dengan kerajaan pusat di dalam menafikan hak orang Kelantan adalah pengkhianat dan tiada se sen nilai pun di mata masyarakat orang Kelantan. Orang-orang ini hanyalah kelompok minoriti yang tiada rasa malu dan harga diri. Saya selalu mengelaskan manusia sebegini sebagai elitist wannabe.
Apa Kata Gedebe UMNO Kelantan?
Tengku Razaliegh dari awal kelihatan menyokong, atau sekurang-kurangnya berkata benar di dalam hal ini. Semua maklum akan balasan surat beliau kepada Menteri Besar Kelantan (boleh di baca di laman blog beliau).
Tok Pa? Ahli parlimen Jeli ini adalah di antara ahli politik dari Umno yang dahulunya sentiasa memenangi rasa hormat saya. Antara tindakan herois beliau yang amat saya bangga adalah apabila beliau dengan penuh sifat anak jantan membuat pengakuan secara terbuka di sidang DUN Kelantan bahawa beliau tahu bahawa kerajaan pusat sentiasa menganaktirikan Kelantan. Namun sampai ke saat ini masih belum mendengar apa-apa pandangan daripada beliau tentang hal ini. Kalau tidak salah saya, beliau adalah antara individu yang mengatakan bahawa Kelantan tidak berhak untuk menuntut royalti petroleum kerana ia bukan di dalam perairan Kelantan dan juga kerana ia merupakan projek usaha sama Malaysia-Thailand.
Anuar Musa. Gedebe yang pernah dikaitkan dengan penyalahgunaan wang tabung ikhtiar ini adalah calon terbaik UMNO Kelantan untuk mengantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan di dalam pilihan raya umum yang lepas (wat a jok). Namun impian tidak tercapai apabila UMNO kalah teruk di Kelantan. (walau bagaimanapun prestasi beliau dengan pasukan bola sepak Kelantan harus diberi pujian). Anuar musa hari ni menyatakan bahawa rakyat Kelantan harus bersyukur dengan “wang ehsan” tersebut. Bersyukur untuk apa? Bersyukur setelah di hina dan dinafikan hak kita? Tidak hairan mengapa orang Kelantan tidak memilih beliau sebagai Menteri Besar.
Ibrahim Ali? Tak masuk book! Itu kata orang Kelantan.
Bunuh Diri
Tindakan Najib ini saya rasakan sebagai satu tindakan bunuh diri. Kesannya akan menjerut leher beliau sendiri dan nyata sekali ia tidak memberi apa-apa keuntungan politik buat UMNO dan BN untuk pilihanraya umum yang akan datang. Sebagai anak jati Kelantan, saya dapat merasai perasaan benci yang mendidih terhadap Najib dan UMNO-BN oleh majoriti orang Kelantan tanpa mengira apa pendirian politik mereka. Saya pasti bahawa mereka tidak akan berdiam diri. “wang ehsan” tidak akan dapat menggulakan hati panas mereka setelah di hina sebagai pengemis.
Dan yang paling teruk adalah gedebe-gedebe UMNO Kelantan. Kuli, Tok Pa, Anuar Musa, Awang Adek dan dua tiga kerat lagi. Mereka ini akan di lihat sebagai kera sumbang dan tidak bermaruah kerana bersekongkol dengan kerajaan pusat di dalam menghina dan menafikan hak orang Kelantan. Tunggulah pilihanraya umum nanti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan