Jun 16, 2009

Orang Kelantan dan “Kerajaan Perpaduan”

“Ambil lah tanoh Kampong Banjir bagi pada barise (BN) ! Tanah Kelate buleh ke Pas doh!” Ayah saya yang berada di luar rumah melaung dengan nada sinis. Suaranya sudah tentu di dengari oleh jiran tetangga di mana jarak di antara rumah-rumah di situ sangatlah dekat dan hanya di pisahkan lorong-lorong sempit yang luasnya lebih kurang lima kaki sahaja. Setiap rumah di sini di dirikan di atas tanah kerajaan. Mula berpindah di Kampung Banjir ini selepas kejadian banjir merah di tahun tujuh puluhan dan dari situlah kampong ini mendapat nama. Di ringkaskan cerita, menjelang pilihan raya umum tahun 1990, orang Umno di kampong tersebut di beri geran tanah (sementara) di mana rumah mereka di dirikan dan penyokong Pas atau Angkatan Perpaduan Ummah seperti ayah saya di kecualikan.
Begitulah ceritanya yang saya fahami selepas beberapa tahun. Ayah saya menyindir orang-orang Umno yang mendapat geran tanah pada malam tersebut selepas mendengar pengumuman bahawa Pas bersama Semangat 46 telah menewaskan Barisan Nasional. Tok Guru Nik Aziz di lantik menjadi Menteri Besar Kelantan.
Peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan saya. Ayah saya telah menunjukkan kepada saya betapa bencinya beliau terhadap Umno dan Barisan Nasional kerana dasar berpuak-puak dan pilih kasih mereka. Walaupun setelah tidak lagi memerintah Kelantan, tahun-tahun berikutnya saya menyaksikan sendiri gedebe-gedebe Umno datang ke tetangga kami untuk menghulurkan “bantuan” menggunakan berbagai-bagai saluran kerajaan pusat. Salah satu daripadanya ialah bantuan wang RM 5000 seorang di dalam bentuk pelaburan amanah saham. Salah seorang daripada gedebe tersebut dengan angkuh berkata kepada saya , “ayahmu bodo! Tengok orghe Umno buleh pitih, dia sokong Pas buleh gapo?”. Saya hanya tersengih, dan ketika itu tidak mampu untuk membela ayah. Peristiwa itu sendiri saya tidak pernah ceritakan kepada ayah saya kerana memikirkan “kepala angin” beliau. Namun selepas itu saya di fahami bahawa bantuan tersebut datangnya dari Kementerian (atau jabatan) Pembangunan Luar Bandar, bukannya dari Umno. Penemuan itu membuatkan saya serba sedikit membina dan mengumpul sebab dan hujah untuk membenci Umno sekuat hati saya.
Saya pada ketika itu merasa tertipu kerana pada awalnya menyangka bahawa wang ringgit serta bantuan-bantuan terhadap orang kampong saya tersebut merupakan duit dari kocek parti Umno itu sendiri. Tetapi sebenarnya Umno menggunakan berbagai-bagai Jabatan Kerajaan Pusat di mana sebagai seorang warga Negara, ayah juga mempunyai hak untuk bantuan-bantuan tersebut memandangkan ayah saya merupakan seorang yang miskin. Dari situ lah saya mendapat kefahaman tentang pemikiran orang-orang Umno yang kononnya kerajaan itu Umno , Umno itu kerajaan dan sosok yang bertanggung jawab menabur racun faham politik ini adalah tidak lain tidak bukan melainkan Mahathir!!! Cis!!!
Umno-BN yang pada ketika itu masih di ketuai oleh Mahathir, melalui Kerajaan Persekutuan semenjak kekalahan pada tahun 1990 terus menerus tanpa henti membuli Kerajaan Negeri Kelantan yang di ketuai oleh Tok Guru Nik Aziz. Diskriminasi di dalam bentuk infrastruktur dan ekonomi terhadap rakyat Kelantan terus di lakukan tanpa henti dengan harapan bahawa orang Kelantan akan beralih daripada Pas dan memberi sokongan kepada Umno-BN. Akan tetapi segala usaha jahat tersebut gagal mencapai matlamatnya bahkan lagi menguatkan kebencian orang Kelantan terhadap Mahathir sendiri. Sokongan orang Kelantan terhadap Pas terus memuncak walaupun terpaksa melihat dengan mata putih gas asli daripada perut bumi Kelantan di daratkan di Songkla. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur terhenti di Kuantan dan berbagai-bagai tindakan lagi yang secara umumnya boleh di samakan dengan sekatan ekonomi Zionis Israel terhadap rakyat Gaza.
Kini hampir dua puluh tahun orang Kelantan bertahan bermati-matian melawan rejim BN. Kubu di Kelantan tetap utuh walaupun di dalam pilihan raya umum 2004 ia hampir tumbang.
Satu malam, sehari sebelum pilihan raya umum 2008, Kota Bharu menyaksikan linangan air mata Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan yang memenuhi Stadium Sultan Muhammad Ke empat. Solat hajat untuk meminta pertolongan Allah tuhan yang satu. Doa dari seorang hamba yang lemah kepada tuhannya di iringi cucuran airmata ketakwaan dan keinsafan bahawa tiada lain yang dapat menghalang BN dari merampas kembali Kelantan selain kudrat dan iradat tuhan yang maha satu, Allah! Begitulah terbuktinya bahawa orang Kelantan menolak Umno dan akan tetap melawan parti perkauman tersebut. Penentangan ini bukan sahaja berlaku di dalam soal politik dan kepartian,malah ia telah meresap jauh kedalam lubuk jiwa dan di saluti dengan sesuatu nilai yang tidak pernah di fahami oleh Umno, iaitu spritualiti. Ini menunjukkan bahawa bencinya orang Kelantan terhadap Umno sehingga tidak sanggup mereka membayangkan jika Kelantan jatuh ke tangan gerombolan perasuah dan lanun terbesar tersebut.
Setelah keputusan pilihan raya di umumkan, ternyata Kelantan masih gagal di tawan oleh Umno-BN malah prestasi mereka lebih teruk daripada pilihan raya umum sebelumnya. Malah, orang Kelantan yang sebelumnya berdiri sendiri di medan perlawanan terhadap Umno-BN, kini sudah mula mempunyai teman melalui tewasnya Umno-BN di empat negeri lain iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perak. Secara umumnya saya berani merumuskan bahawa perasaan rakyat Kelantan pada ketika itu adalah seperti baru mendapat kemenangan berganda walaupun tidak kesemua negeri-negeri tersebut di bolot oleh Pas. Perasaan seperti perjuangan menahan serangan Umno-BN selama lebih kurang dua puluh tahun sudah berbalas melalui kejatuhan negeri-negeri tersebut kepada Pakatan Rakyat dan ini akan membuka laluan kepada negeri-negeri lain pada pilihan raya umum seterusnya. Begitulah besarnya harapan orang Kelantan yang sebelum ini bersendirian dan bermati-matian mempertahankan negeri mereka daripada Umno-BN. Maka kemenangan tersebut bukanlah kemenangan mutlak melainkan ia merupakan sebuah langkah permulaan untuk menghapuskan Umno-BN secara total! Itu lah harapan orang Kelantan. Setiap pejuang tidak boleh lena walau sebentar di saat ini kerana lalai sesaat boleh membawa kepada kemudharatan terhadap strategi untuk menghumbang lawan kedalam liang dan menguburkannya supaya bangkai busuk lawan tidak bisa menusupi hidung rakyat.
Namun, tidak sampai setahun Perak berjaya di cerobohi lawan melalui wakil rakyat daripada PKR dan DAP yang telah di beli jiwa mereka. Malah di Kedah juga di serang, termasuk Selangor dan Pulau Pinang. Pakatan goyah buat seketika. Semoga segala peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini akan mematangkan parti-parti di dalam Pakatan itu sendiri.
Hidup di perantauan, membuatkan berita yang di terima terbatas walaupun dengan teknologi internet. Berita yang di terima dari Malaysia bergantung kepada sumber-sumber yang terhad memandangkan media kerajaan tidak boleh di percayai. Saya mengikuti perjalanan muktamar parti Pas melalui sumber-sumber seperti Malaysiakini dan juga Harakahdaily. Satu perkara di sepanjang muktamar tersebut yang amat menakutkan saya adalah “kerajaan perpaduan” yang banyak menjadi perdebatan di kalangan pemimpin Pas dan isu ini di mainkan secara meluas di dalam media kerajaan dan juga media “pro pembangkang?” seperti Malaysiakini. Saya tidak berani untuk menyatakan siapa gerangan yang punca angkara dan idea untuk berniaga gengan Umno, tetapi saya berani mengatakan jika benar ada kumpulan tersebut, maka golongan ini sebenarnya sedang menggali “kubur politik” mereka sendiri. Jika benar itu agenda mereka, bermakna mereka sedang menikam orang Kelantan dari belakang ketika orang Kelantan sedang berhempas pulas untuk melanyak Umno!
Teringat akan kata-kata dari ucapan Yang Berhormat Khalid Samad di muktamar tersebut, “apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding dengan mushaf-mushaf di hujung lembing” merujuk kepada peristiwa yang berlaku ketika tentera Saidina Ali yang terperangkap dengan pujukan perdamaian daripada pihak Muawiyah. Yb Khalid cuba mengingatkan kepada ahli parti beliau bahawa musuh selalu menawarkan berbagai-bagai helah ketika mereka lemah. Namun bagi saya tidak perlu untuk YB Khalid berpatah jauh di dalam lipatan sejarah. Ingatlah rakyat Kelantan ketika di awal pemerintahan Pas yang di anak tirikan oleh Umno. Akhir sekali saya ingin mengubah kata-kata YB Khalid tersebut menjadi “ apalah sepanduk-sepanduk puncak niaga, berbanding perjuangan orang Kelantan melawan Umno”!.

April 07, 2009

Pantun Pok'Ko

Pantun Pok’Ko

Make sireh buboh gulo
Kachip pinea bercerai duo
Takdok guno negaro merdeko!
Kalu hidup berputeh mato!

Takdok guno negaro merdeko
Kalu hidup berputih mato
Puak dio pakat duk khokok harto!
Nasi anak kita, gaul nga ubi stelo

Puak dio pakat duk khokok harta
Nasi anak, gaul nga ubi stelo
Pileh ketuo hok tomok halobo
Kucha hayya rakyat jelato!

Pileh ketuo hok tomok halobo
Kucha hayya rakyat jelato
Puak dio ranggoh berjuto-juto!
Tinggal ke kito subsidi sajo

Puak dia ranggoh berjuto-juto
Tinggal ke kito subsidi sajo
Kalu ni lah hak kito banggo
Maruah manusia nak letok mano?

Kalu ni lah hak kito banggo
Maruah manusia nak letok mano?
Terliur pitih samah duo
Murah nya regho sehino-dino!

Terliur pitih samah duo
Murah nya regho sehino-dino!
Londehlah seluar rukahlah pokok nyor
Terejun turon habih cherito!!!
Waso Pok’Ko!!!!!!!

.Mesoul.
North Gower St
7 April 2009

April 05, 2009

Syaitan Kemiskinan

Lembaga kemiskinan..bertaring tajam, bermata besar,
Merah menyala…
Menggigit , mengunyah, menelan daging-daging mentah!
Tidak cukup, tulang-tulang kerdil di mamah-mamah
Lalu di ludah bertabur-taburan..
Ngeri lembaga ini, hitam selegam-legam
Dari tanah Asia sampai ke Amerika selatan,
Membaham tubuh-tubuh kering anak tani dan anak nelayan..

di antara bau tengik dan aroma bacing
tempat ku bermain dan membuat perhitungan.
lorong-lorong sempit yang berdebu,
memisahkan dinding rumahku dan pintu tetangga,
di sini lah berkeliaran lembaga-lembaga kejam,
mencakar kuku tajam tanpa ehsan.
Aku menyaksikan, lantaran jiwa-jiwa insan yang longlai,
Satu demi satu, tewas! tanpa sedar…
Rebah terkangkang tanpa perlawanan!
Tersepit tanpa sekelumit pembelaan.

Aku pernah takut pada lembaga ini,
Pada amukannya yang tak mengira masa,
Ku dengar keluh lelah ayah
Dan juga air mata mek.
Semuanya angkara lembaga sial!
Wajahnya hodoh seiras rupa syaityan!
Namun setelah sekian lama di momok
Aku jadi kebal, kulit ku tebal..
Datanglah kau wahai lembaga hodoh
Aku miskin sudah lama,
Aku bisa jadi miskin untuk sisa-sisa usia yang ada


Lembaga kemiskinan ini satu makhluk buta huruf
Juga buta warna dan buta agama
tidak kenal Melayu, Cina atau Jawa
kerana yang miskin itu tetap papa kedana
yang kaya tetap kaya….
Tidak perlu tunggu dewa atau arjuna
Kerana untuk membunuh lembaga ini
Keris bukan senjatanya!

لمباڬ كميسكينن..برتاريڠ تاجم، برمات بسر،
ميره مڽالا…
مڠڬيڬيت ، مڠوڽه، منلن داڬيڠ-داڬيڠ منته!
تيدق چوكوڤ، تولڠ-تولڠ كردل د مامه-مامه
لالو د لوده برتابور-تابورن..
ڠري لمباڬ اين، هيتم سلڬم-لڬم
دري تانه اسيا سمڤأي ك اميريك سلتن،
ممباهم توبوه-توبوه كريڠ انق تاني دان انق نيلين..

د انتارا باو تيڠيق دان اروم باچيڠ
تمڤت كو برماءين دان ممبوات ڤرهيتوڠن.
لوروڠ-لوروڠ سمڤيت يڠ بردبو،
مميسهكن دينديڠ رومهكو دان ڤينتو تتڠڬ،
د سيني له بركلياران لمباڬ-لمباڬ كجم،
منچاكر كوكو تاجم تنڤا إيهسن.
اكو مڽقسيكن، لنترن جيوا-جيوا انسان يڠ لوڠلاي،
ساتو دمي ساتو، تيواس! تنڤا سدر…
ربه تركڠكڠ تنڤا ڤرلاونن!
ترسڤيت تنڤا سكلوميت ڤمبلاان.

اكو ڤرنه تاكوت ڤد لمباڬ اين،
ڤد اموكنڽ يڠ تق مڠيرا ماس،
كو دڠر كلوه للاه ايه
دان جوڬ اير مات مق.
سمواڽ اڠكارا لمباڬ سيال!
وجهڽ هودوه سإيرس روڤا شااتين!
نامون ستله سكين لاما د موموق
اكو جادي كبل، كوليت كو تبل..
داتڠله كاو واهاي لمباڬ هودوه
اكو ميسكين سوده لاما،
اكو بيسا جادي ميسكين اونتوق سيسا-سيسا اوسيا يڠ اد


لمباڬ كميسكينن اين ساتو مخلوق بوتا حروف
جوڬ بوتا ورنا دان بوتا اڬام
تيدق كنل ملايو، چينا اتاو جاوا
كران يڠ ميسكين ايت تتڤ ڤاڤا كدانا
يڠ كاي تتڤ كاي….
تيدق ڤرلو توڠڬو ديوا اتاو ارجون
كران اونتوق ممبونوه لمباڬ اين
كريس بوكن سنجاتڽ!


5 April 2009 North Gower St

Mac 01, 2009

Kekacauan

Saya sekarang berada di dalam satu situasi di mana kemahuan untuk menulis membuak namun gagal menggenggam ilham dan ruang fikir liat untuk mencurah idea.
Andainya di perkenankan pada saya satu lautan kata dari pemiliknya, ingin saya gunakan buat menyantun kata, mengatur bicara dan menggerakkan fikrah ke arah satu karya yang bisa mententeramkan hati dunia! Huhu…
Dunia yang kian panas dihangatkan dosa-dosa saya dan warganya, juga anda dan mereka yang selalu “jahil tentang kejahilan”! Saya dan anda semua seperti bengong tentang dunia yang semakin membengongkan. Di mana-mana ketika ini, kepintaran selalu di perbodohkan dan kebodohan itu sendiri seperti di perbudayakan (pinjaman dari senikata sebuah lagu kumpulan Punk Indonesia,Marjinal) . Akhir sekali ternyata pertimbangan kita menyimpang dan tingkah kita semuanya sumbang haram!
Budaya-budaya bodoh ini sering di ulang-ulang jikalau kita mengamati sejarah. Imperialisma, perbudakan hamba abdi, diskriminasi kelas dan kasta dan berbagai ungkapan yang sering kita baca di dalam kitab sejarah kini muncul kembali dengan nama, rupa bentuk malah di berikan difinisi yang berbeza daripada makna yang lama.
Namun sebenarnya sejarah adalah kitaran yang berputar secara konsisten dan tidak pernah berhenti atau menukar arahnya. Imperialisma contohnya telah melalui proses evolusi dan hari ini di sebut-sebut dengan kata globalisasi. Dua nama, difinisi berbeza tetapi adalah satu sosok yang sama. Istilah-istilah yang di sebut-sebut nyata sekali lunak di halwa telinga akan tetapi di sebaliknya tersembunyi segala niat dan perhitungan yang amat jahat. Pasar bebas (free market), perdagangan bebas dan segala-galanya bebas memang enak bunyinya jika sebut kerana perkataan bebas itu sendiri adalah satu perkataan untuk menggula-gulakan dan untuk membeli jiwa manusia yang lemah dan dahagakan kebebasan dan keadilan. Akan tetapi harus di ingat, selalunya perhitungan dan perbincangan untuk merealisasikan pasar bebas dan sebagainya tidak pernah dan selagi boleh tidak akan melibatkan golongan manusia yang lemah, dalam kontek ini adalah kaum buruh. Segala bentuk perbincangan selalunya di lakukan secara senyap-senyap dan di dalam gelap! Contoh yang paling hampir adalah perbincangan tentang FTA (free trade agreement) di antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Saya, ketika hebohnya tentang perkara FTA tersebut masih dalam keadaan bengong bercampur pening tentang benda-benda seumpama ini. Setelah di teliti sedikit demi sedikit, ternyata bahawa rundingan tersebut tidaklah mendatangkan apa-apa faedah terhadap rakyat terbanyak. Yang untungnya kaum kapitalis. Rakyat? Pergi mam….
Perbudakan, lihat saja di kilang-kilang, ladang-ladang dan estet-estet. Kaum buruh di negeri-negeri yang lapar kepada “direct foreign investment” berkerja bertungkus-lumus tanpa mengira penat dan lelah, di bayar upah di bawah kadar minima. Kadang-kadang berkerja sehingga melangkaui waktu berkerja yang manusiawi. Kaum buruh terpaksa meredhai tanpa rela akan ketidak adilan ini kerana penguasa di negeri mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan pelaburan asing dengan menawarkan “kos upah yang kompetitif”- kononnya.
Pernahkah saya dan anda semua terfikir, berapa lama seorang pekerja kilang di Indonesia harus mencurahkan keringat mereka seandainya mereka berhajat untuk memakai sehelai jeans berjenama GAP yang mereka jahit setiap hari? Jawapnya tak terbeli beb…
Di saat sistem ekonomi kapitalis sedang di ambang kemusnahan ini, ada baiknya kita sama-sama berfikir samada untuk terjun ke dalam lubang kehancuran bersama sistem yang kita anuti sekarang ataupun mencari dan mengamalkan satu sistem yang lebih adil dan manusiawi.

Oktober 14, 2008

Kapitalisme Gagal!

Suhu dingin kian terasa, di tambah dengan angin musim luruh yang bertiup kencang meninggalkan aku memeluk tubuh di hadapan pintu no 28 Flat Falcon sambil menghisap sebatang rokok.
Aku yang baru tiga minggu di kota ini masih mentah, dan sebenarnya masih tercengang-cengang dengan rupa, manusia, dan suasana di kota besar yang berpenghuni lebih kurang 6 juta manusia ini. Ruang jalan kaki bersumbat dengan warganya dan tidak pernah sunyi; dan stesen-stesen keretapi bawah tanah yang bingit dan sesak dengan penumpang yang berhimpit-himpit. Setiap orang berlari-lari; salah satu rupa wajah urbanisasi. “Adakah aku rusa masuk kota?” Tanya hati tanpa segan sambil muka aku kejang menahan sengih.


Masa yang ruang ketika ini banyak aku lalui dengan merayau-rayau di sekitar Centre London. Dari Oxford Circus ke Soho, Trafalgar Square ke Westminster ; lantas menelusuri tebing sungai di mana para pelancong berpusu-pusu untuk menaiki London Eye. Aku tidak betah untuk berjalan kaki daripada menaiki Tube yang memerlukan kos kerana untuk membiasakan diri dengan jalan-jalan di sini; ingat global warming! Lagi pun dari bawah tanah tidak dapat lihat apa-apa kecuali iklan-iklan di dalam gerabak dan di stesen-stesennya.
Begitu indah dan cool kota ini, begitu jugalah biayanya. Sewa bilik di dalam sebuah flat, £160 untuk satu minggu! Tambang keretapi bawah tanahnya £4 untuk hanya satu perjalanan (single journey) Jadi, pekerjaan mesti di cari secepat mungkin sebelum fulus kering.

Aku tiba di London di saat krisis ekonomi dunia yang di katakan adalah lebih teruk daripada krisis 1929 yang membawa kepada perang dunia kedua.
Keruntuhan institusi kewangan Amerika Syarikat dan seterusnya merebak keseluruh dunia yang menyaksikan kekecohan di kalangan kaum kapitalis yang tamak. Satu persatu gergasi kewangan tumbang lantas memaksa Presiden Bush manandatangani bailout sebanyak USD 700 billion dan kerajaan British melalui Perdana Menteri Gordon Brown menggunakan wang pembayar cukai sebanyak £500 billion untuk menyelamatkan badan-badan kapitalis yang hampir-hampir kehilangan harapan untuk bernyawa lagi. Begitulah perangai kaum kapitalis yang haloba; di saat mereka gagah, mereka mahu semua benda di atas muka bumi ni di swastakan. Tetapi apabila mereka di dalam kerugian, maka kerajaan lah tempat mereka bergantung. Yang bodohnya adalah kaum pekerja yang terpaksa menanggung akibat ketamakan dan falsafah ketuhanan wang ringgit yang di praktikkan oleh kaum kapitalis!

Namun begitu ada juga mereka yang cuba untuk membela kaum-kaum kapitalis haloba ini. Termenung aku apabila terbaca satu tulisan di harakahdaily.net apabila seorang “Malaysian think tank” mengatakan di dalam tulisan nya bahawa krisis ekonomi ini bukan kegagalan kapitalisme, namun sebaliknya adalah merupakan kejayaan kepada mereka. Kejayaan? Kejayaan apa jikalau terpaksa meranggah duit kerajaan melalui usaha menyelamat sehingga menelan belanja berbillion-bilion Pound Sterling? Lagi katanya puak-puak sosialis hanya menangguk di air yang keruh? Juga “thin tank” ini cuba menyalahkan kaum sosialis melalui dakwaannya bahawa agensi peminjam wang perumahan di Amerika yang gulung tikar baru-baru ini di tubuhkan dengan berasaskan prinsip sosialisme? Bila pula negara yang merupakan boleh di panggil negara swasta seperti Amerika memeluk pahaman sosialis? Ini lah dia kebebalan puak-puak liberal! Puak-puak yang pro perdagangan bebas, anti akta gaji minima; dan pro globalisasi! Mereka ini berhujah bahawa jikalau kita menimplimentasikan akta gaji minima, maka daya saing negara akan menurun kerana pelabur akan pergi kepada negara yang mempunyai kos buruh yang lebih rendah. “Apakah kita patut menjual murah peluh dan keringat anak watan kerana ingin menarik pelaburan?” Pertanyaan ini harus di jawab oleh mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai ilmuwan! Akan aku tinggalkan persoalan ini pada mereka kerana mereka “think tank”!

Begitu lah resam dunia yang bertuhankan kapital! Bagi aku yang percaya pada Allah yang satu, sudah jelas bagiku bahawa di dalam Quran ada ayat yang bermaksud, “di halalkan keatas kamu berjual beli (perniagaan), tetapi riba itu haram! Jadi kesimpulannya apa yang berlaku lewat ini bagiku adalah merupakan suatu kegagalan manusia mentafsir atau mengenali tentang bahayanya riba terhadap umat manusia. Satu alternatif harus di cari…………..

September 20, 2008

Pembolog

Seorang kawan ajukan satu soalan yang bercampur perlecehan "sejak bila pula pandai memblog"?
Menate Broke mung! kalau Khir Toyo boleh tulis blog takkan aku tak boleh?
ok apa? hahahaha

September 12, 2008

Operasi Lalang 2?

Satu kabar yang sedih dari Malaysia.
Beberapa orang telah di tahan di bawah ISA di saat ini.
Adakah ini senjata terakhir regim BN sebelum tewas 16 September ini?

"That's enough ... from you, Yankees," Chavez

Amerika telah dimalukan oleh Venezuela! Presiden Hugo Chavez dengan selamba telah menghalau duta Amerika dari negaranya. 72 jam tempoh di berikan kepada duta tersebut untuk meninggalkan Venezuela.
Sementara itu Evo Morales, Presiden Bolivia juga menyahkan duta Amerika di negara itu.
Satu tamparan hebat terhadap Amerika!
Apa yang Amerika boleh buat sekarang? Kuasa imperialis ini masih lagi dalam keadaan gelabah dan panik dengan Iraq dan Afghanistan…
Satu kelebihan buat Russia…